Sifat Sedekah dan Pemaaf
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain) melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya”.
(Riwayat Muslim)
Huraian Hadith :
- Umat Islam digalakkan memberi sedekah kepada orang yang memerlukannya.
- Orang-orang Islam janganlah merasa sayang kepada harta bendanya untuk membelanjakannya kepada perkara-perkara kebaikan kerana setiap pemberian akan diganti oleh Allah SWT.
- Sifat merendah diri tidak akan menjatuhkan martabat seseorang kerana Allah SWT memberi jaminan akan mengangkatkan darjat orang yang bersifat demikian.
- Sedekah tidak mengurangkan harta kerana Allah SWT sentiasa menambah keberkatannya yang menambah suburnya harta ini, atau ganjaran yang dijanjikan Allah SWT di akhirat nanti akan menggantikan harta yang disedekahkan dengan berlipat ganda.
- Orang yang bersifat pemaaf dan berbudi bicara akan disanjung dan dihormati di dunia dan dijanjikan ganjaran yang besar di akhirat, begitu juga orang yang bertawaduk kerana Allah SWT akan mendapat kedudukan di hati manusia dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
"Jadilah Seorang yang Pemurah"
Daripada ‘Adi bin Hatim RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan bersedekah sebelah buah tamar.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :
- Islam menggalakkan umatnya supaya suka bersedekah kerana ia akan mengeratkan hubungan silaturahim antara yang memberi dengan yang menerima.
- Orang yang suka bersedekah sama ada sedikit ataupun banyak akan menghindarkan dirinya daripada api neraka.
- Orang beriman digalakkan bersedekah walaupun dengan sesuatu yang amat sedikit (kerana tidak didapati yang lain) dan bersedekah itu akan menjadi perisai daripada api neraka.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
Memberi Sedekah Kepada Yang Memerlukan
Daripada Abdullah bin Amru RA, bahawasanya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang terbaik dalam Islam?” Baginda bersabda, “Memberi makan makanan dan memberi salam kepada orang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenali”.
Huraian Hadith:
- Orang Islam hendaklah sentiasa memberi sedekah kepada orang yang memerlukan bantuan kerana ia adalah di antara amalan yang terpuji dalam Islam.
- Islam menyuruh umatnya supaya memberi salam kepada orang yang ditemui sama ada dikenali ataupun tidak dikenali.
- Digalakkan memberi jamuan dalam bantuan sedekah, menghormati tetamu dan sebagainya dan juga memberi salam kepada orang yang dikenali atau tidak dikenali untuk menimbulkan rasa kasih sayang sesama muslim
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment